Voting

Monday, 6 June 2011

APLIKASI WEB 2.0

1.    BLOG
       Blog menggantikan fungsi web peribadi dengan membenarkan pemiliknya berkongsi pengalaman serta pandangan dengan masyarakat dunia tanpa batasan. Penulis blog mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap data atau maklumat di dalam laman. Kandungan dapat disebarkan lebih pantas dan percuma. Setiap maklumat yang dikongsi akan dinilai oleh pembaca dan mereka boleh berkomunikasi dengan penulis secara terus sekiranya mereka ingin memberikan maklum balas. Blog juga sering dijadikan senjata politik yang berkesan untuk berkempen, menyampaikan ideologi serta mengkritik sesuatu isu. Blogger dan Wordpress merupakan penyedia laman blog yang berjaya dengan himpunan berjuta penulis blog dari serata dunia.



2.    WIKI
       Wiki menjadi satu platform baru yang unik dalam penyebaran maklumat. Melalui wiki, pengguna bebas memasukkan maklumat dan melakukan suntingan sendiri terhadap data yang disumbangkan oleh pengguna lain. Perkembangan ini membuka satu lembaran baru dalam dunia pendidikan. Ensiklopedia bebas Wikipedia merupakan contoh terbaik bagaimana sistem wiki berfungsi sebagai sebuah sumber rujukan pendidikan dalam pelbagai bahasa. Selain itu, inovasi terkini wiki diperkenalkan oleh Wikispaces sebagai salah satu platform perkongsian maklumat pendidikan. Wikimapia pula menyediakan ruang kepada pengguna untuk melabel sendiri kawasan pada peta satelit dalam webnya. Potensi penggunaan sistem wiki amat luas dan mampu berkembang pada masa akan datang dalam pelbagai bidang yang lain.



3.    PODCAST
       Podcast pula merupakan satu teknologi yang membenarkan gajet pemain media mudah alih atau komputer peribadi mencapai bahan audio atau video digital dari internet. Kandungannya dikemas kini secara automatik jika terdapat sebarang masukan baru dari sumber atau penyedia perkhidmatan. Ia menggunakan protokol RSS seperti Web Feeds. Apple iPod merupakan pelopor terawal teknologi ini. Teknologi ini semakin popular dalam pendidikan masa kini. Ia digunakan untuk menyalurkan maklumat serta berkongsi bahan pengajaran. Guru dapat menyediakan video tutorial, rakaman televisyen serta contoh tugasan melalui fungsi paparan gajet melalui teknologi ini. Selain bidang pendidikan, ia digunakan dalam bidang keselamatan, bidang penyiaran serta dalam sektor korporat.



4.    RANGKAIAN SOSIAL
       Rangkaian sosial pula merupakan satu cetusan hebat web 2.0. Laman web rangkaian sosial berkembang dengan pesat sebagai satu medium komunikasi popular masa kini. Kemunculan Myspace, Friendster, Facebook, Twitter, Flickr, Slideshare serta beberapa lagi telah membentuk beberapa kumpulan komuniti maya berskala besar yang mengumpulkan manusia dari seluruh dunia. Kumpulan ini akan semakin membesar dengan penyertaan rakan baru dari pelbagai peringkat umur dan warna kulit. Laman rangkaian sosial paling besar, Facebook yang diasaskan Mark Zuckerberg mempunyai lebih 60 juta ahli yang aktif sejak ditubuhkan pada 4 Februari 2004. Laman ini membenarkan perkongsian maklumat peribadi, minat, gambar foto dan video antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment